Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh dikenalpasti sebagai Ahmad Fadhil Alias, 29, dan bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.
Walau bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan dengan melakukan kelucahan melampau. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun.
Dalam kejadian yang berlaku antara jam 3.15 pagi pada 17 Januari lalu, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terbabit di Wad 6A HSNZ, terhadap seorang pesakit lelaki yang berumur 20 tahun dari Kampung Banggol Pauh, Seberang Takir.
Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan. Rozianti turut menetapkan 7 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh hadir ke mahkamah ditemani ahli keluarganya. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli.
Sebelum ini, mangsa dimasukkan ke HSNZ untuk menjalani pembedahan tonsil. Mangsa didatangi seorang lelaki yang kemudian melakukan aktiviti lucah terhadapnya ketika sedang tidur.
Mangsa yang terkejut terus menendang lelaki berkenaan sebaik tersedar dari tidur. Suspek melarikan diri namun cuba dikejar mangsa. Apabila melalui kaunter jururawat, mangsa dimaklumkan oleh seorang petugas bahawa lelaki yang dikejarnya adalah seorang doktor.
Bimbang kejadian itu berulang, bapa mangsa, 48, kemudiannya membuat laporan polis.
0 comments:
Post a Comment