Home » » Keikhlasan hati Nur Syuhada

Keikhlasan hati Nur Syuhada

Posted by Media otak news on Wednesday, 4 February 2015

Kuala Lumpur: “Walaupun tidak pernah bertemunya, saya anggap arwah seorang yang baik hati apabila sanggup menawarkan diri untuk menyertai program bantuan banjir di Kelantan, dua minggu lalu.
“Selepas menyertai misi pertama yang berlangsung dua hari itu, ketua kumpulan program memaklumkan kepada saya, dia mahu menyertai program itu sekali lagi pada minggu seterusnya. Keikhlasan hatinya itu amat menyentuh perasaan saya,” kata penceramah dan pendakwah terkenal, Ahmad Dusuki Abd Rani.
Ahmad Dusuki atau terkenal dengan panggilan Ustaz Ahmad Dusuki memuat naik foto sekumpulan sukarelawan program bantuan banjir di Kelantan, 22 Januari lalu.Antara sukarelawan dalam foto itu adalah Nur Syuhada Johari, 20, yang meninggal dunia akibat dikelar rakan lelakinya dalam sebuah kereta Proton Perdana di Kilometer 228.2, Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Bukit Gantang, Perak, Isnin lalu.
Foto itu dimuat naik hari ini sebelum menjadi ‘viral’ di laman sosial.
Ahmad Dusuki yang juga pengasas Kompleks Darul Thibbun Nabawi berkata, seorang sukarelawan yang rapat dengan arwah ada memaklumkan, Nur Syuhada adalah seorang yang mesra dan cemerlang peribadinya.
“Sepanjang misi bantuan itu, saya dimaklumkan arwah teruja, gembira dan sanggup mengerah tenaga ketika membersihkan lokasi yang ditetapkan.
“Saya turut dimaklumkan, arwah juga berharap dapat menyertai misi bantuan seperti itu pada masa akan datang, tetapi malang harapannya itu musnah selepas dia dibunuh dalam insiden ngeri Isnin lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, petang tadi.
Katanya, program bantuan banjir itu adalah kerjasama Thibbun Nabawi dan Muslim Care Malaysia
“Ia membabitkan sukarelawan yang majoritinya pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Permatang Pauh, Pulau Pinang dan program juga diadakan pada setiap minggu sehingga tempoh ditetapkan.
“Semua sukarelawan yang menyertai misi bantuan banjir itu ditugaskan untuk mencuci kediaman penduduk, sekolah dan masjid yang terjejas akibat banjir di Kelantan, Disember tahun lalu,” katanya.
Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian Nur Syuhada oleh salah seorang peserta program berkenaan.
“Saya doakan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, mendapat ganjaran syurga dan mudah-mudahan mati syahid seperti mana namanya iaitu Nur Syuhada,” katanya.



0 comments:

Post a Comment

Popular Post

Blog Archive

Powered by Blogger.

Followers